Thursday, 10 May 2012

Anya Hindmarch menghasilkan beg tote ‘I’m Not A Plastic Bag’


Apabila pereka beg tangan terkemuka, Anya Hindmarch menghasilkan beg tote ‘I’m Not A Plastic Bag’ pada tahun 2009, berduyun-duyun orang terutama wanita berusaha untuk memiliki beg kanvas serbaguna tersebut. Tujuannya ialah untuk menggalakkan lebih ramai orang berhenti menggunakan beg plastik yang dianggap antara punca utama pelepasan gas karbon dioksida (CO2) iaitu penyebab utama fenomena pemanasan global.

Kajian bagi ‘Environmental Protection Agency’ Amerika Syarikat yang dijalankan bersama oleh Konsultan ICF, Konsultan Owen-illinous dan University of Florida pada September 2006 menunjukkan bahawa kitar semula atau penggunaan semula satu tan plastik akan menjimatkan penggunaan tenaga sebanyak 51 hingga 56 juta Btu (satu juta Btu bersamaan dengan tenaga yang boleh dihasilkan oleh lapan gallons gasoline).

Pada 27 Mac 2007, Parlimen Bandar San Francisco Amerika Syarikat telah meluluskan satu akta melarang penggunaan beg plastik di pasar raya dan kedai farmasi.

Di Los Angeles dan bandar-bandar yang lain di Amerika Syarikat., kerajaan telah mengurus aktiviti pengambilan balik beg plastik dan mencadangkan penduduk tempatan supaya tidak menggunakan beg plastik serta meletakkan beg plastik yang telah digunakan ke tempat yang telah ditetapkan.

Pada 2 April 2007, larangan penggunaan beg plastik telah dilaksanakan di Pekan Leaf Rapids, Manitoba Kanada. Pekan itu merupakan tempat pertama yang menetapkan larangan tersebut di Kanada. Sebelum ini, sesetengah tempat di Australia dan Brazil juga telah mengeluarkan ketetapan mengenai larangan penggunaan beg plastik.

Tanzania pula telah mengumumkan larangan penggunaan beg plastik yang setebal 30 mikron hingga 65 mikron pada tahun 2008. Rwanda telah melarang penggunaan dan pengimportan beg plastik yang setebal kurang 100 mikron semenjak tahun 2005. 

Kerajaan Kenya telah mengenakan cukai penggunaan sebanyak 120% atas beg plastik dan merancang untuk meningkatkan harga beg plastik sebanyak 6.6 kali ganda pada tahun 2010. Uganda juga telah memulakan pelaksanaan satu akta tentang larangan penggunaan beg plastik pada 1 Julai 2009.

Pada tahun 1999, Republik Korea menggunakan beg plastik yang perlu dibayar, manakala Hong Kong mula mengenakan cukai mesra alam terhadap beg plastik. Jepun, India dan Bangladesh pula telah menggubal undang-undang melarang penggunaan beg plastik.

Berdasarkan peraturan Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara China, beg plastik yang tebalnya kurang 0.025 mm dilarang dikeluarkan dan digunakan. 

Singapura turut melancarkan ‘Hari Bawa Beg Beli-belah Sendiri’ pada April 2009. Setiap hari Rabu, sebanyak 206 buah pasar raya di Singapura telah menggalakkan pengguna mengurangkan penggunaan beg plastik. 

Manakala Republik Korea dan Jepun telah menetapkan siri tindakan untuk menggalakkan pihak penjual dan pengguna menggunakan beg kertas yang boleh dikitar semula.

Belasan tahun yang lalu, Jerman telah menggubal undang-undang mengurangkan penggunaan beg plastik. Pada masa ini, semua pasar raya di Jerman hanya menyediakan beg plastik yang berbayar. Britain, Perancis dan Ireland juga telah menetapkan siri akta untuk mengurangkan penggunaan beg plastik.

‘Kick the Habit! - ‘Reduce the use of Plastic bags, Towards a Low Carbon Economy’ yang pernah menjadi tema sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia bertujuan untuk mengajak kita supaya merubah sikap, sikap mengurangkan penggunaan bahan plastik sebagai pembungkus yang berlebihan.Oleh kerana kelebihan bahan plastik dari segi ketahanan (durability) dan 'hygiene', penggunaannya sebagai bahan pembungkus meningkat sejak akhir tahun 60-an. 

. Mengurangkan penggunaan pembungkus dan beg plastik juga mempunyai beberapa kebaikan dari segi alam sekitar seperti:
  1. Jumlah sisa buangan yang perlu dilupuskan akan berkurangan. Secara langsung kawasan tanah yang perlu digunakan bagi maksud pelupusan juga akan berkurangan. Ini bermakna risiko pencemaran juga akan berkurangan.
  2. Penggunaan semula pembungkus atau beg plastik akan menjimatkan penggunaan sumber tambahan bagi pembuatan beg plastik baru.
Kesimpulannya, kurangkanlah penggunaan beg plastik kerana tindakan tersebut dapat menyelesaikan banyak masalah pencemaran, membantu kehidupan yang selesa untuk makhluk sejagat, menjaga kualiti alam sekitar, dan seterusnya dapat membantu negara mengurangkan keluasan tapak pelupusan.

1 comment:

  1. di malaysia patut ada kuatkuasa juga..tapi persoalannya.. siapa perlu start smua ni

    ReplyDelete